Thursday, January 27, 2011

Untukmu Wanita

Wahai wanita,
Jalan kehidupanmu dipenuhi ranjau dan onak yang berduri
Namun,
Jangan dikesali dan ditangisi kerana hidup adalah satu perjuangan yang perlu enkau teruskan.

Jangan sia-siakan masamu yang semakin berharga
Kerana hidup ini hanyalah sekali
Tancapkan keazaman dan nekad yang membara dalam sanubari
Agar jiwamu tidak goyah dengan tipudaya duniawi.
Sematkan benteng keimanan dan nur ketaqwaan 
Agar menjadi pagar yang memayungi diri dari terjerumus ke lembah kebinasaan

Wahai wanita,
Akurlah dirimu pada suratan takdir Yang Maha Esa
Jangan disesalkan andai kau diterjah dengan pelbagai ujian dan cubaan
Ingatlah, itu adalah tanda kasih dan sayang Illahi
Yang tidak bertepi terhadapmu.

Diturunkan ujian untuk menemani perjalanan hidupmu
Dikirimkan kedukaan agar engkau lebih mengerti
Bahawa hidup ini bukanlah untuk kesenangan dan kegembiraan
Sepanjang masa

Akan tiba waktunya di mana
Engkau akan menemui kenikmatan dari kesengsaraan
Jua dari kedukaan yang dialami
Kenikmatan yang akan mengingatkan engkau adalah insan pilihan
Yang diberi sepenuh kepercayaan untuk memikul tanggungjawab
Sebagai mujahidah
Insan pilihan untuk ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah

Sekiranya engkau redha dengan ujian yang diberi
Dan tidak lalai dari menunaikan amanah yang diberi
Tiada jalan mudah untuk setiap perjuangan
Aturkanlah langkahmu kehadapan
Dan seiringkanlah nawaitu yang satu
Semoga engkau mampu meredah kehidupan ini
Dan selamat tibe ke destinasi penghujungnya
Tanpa meninggalkan noda yang mampu menggugat dan membakar imanmu

Wahai wanita,
Seandainya langkahmu tersasar  di persimpangan
Kembali dan sujudlah ke pangkuan Illahi
Basuhlah dan siramlah dosa-dosa lalu dengan penyesalan setinggi gunung
Ingatlah kecintaan Allah kepada hambaNya tidak pernah bertepi

Taburkanlah benih-benih keinsafan
Agar menjalar dan menjadi rimbun ketaqwaan
Yang memutikkan bunga-bunga Nur HidayahNya
Yang membuahkan gugusan keimanan
Dan menerbitkan daun-daun keinsafan
Terhadap keagungan Illahi

Hidup tiada makna
Andai kau biarkan dirimu dilambung ombak yang menghempas
Dan kau hanyutkan dirimu dalam keseronokkan dunia ini
Ingatlah keseronokkan dunia hanyalah sementara
Dan akhirat jualah jalan penyudah........

No comments:

Post a Comment